fb fb fb fb fb

Ronaldo kekal atlet paling kaya - Forbes

Bintang Portugal dan Al-Nassr, Cristiano Ronaldo / Foto REUTERS

RIYADH, 17 Mei-Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, sekali lagi dinobatkan sebagai atlet dengan pendapatan tertinggi dunia oleh majalah kewangan Forbes, mengekalkan kedudukan teratas untuk tahun ketiga berturut-turut.

Perpindahan Ronaldo ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr, bukan sahaja melanjutkan karier profesionalnya, tetapi turut melonjakkan pendapatannya secara kepada sekitar AS$275 juta atau (RM1.3 bilion).

Angka itu termasuk kenaikan AS$15 juta hasil tajaan luar padang, terutama melalui sokongan jenama-jenama besar yang tertarik dengan pengaruh media sosial luar biasanya iaitu 939 juta pengikut di semua platform setakat Mei 2025.

Di tempat kedua ialah pemain bola keranjang NBA dari Golden State Warriors, Stephen Curry, dengan pendapatan sebanyak AS$156 juta.

Curry, yang mencipta sejarah pada Mac lalu sebagai pemain pertama dalam NBA mencatat 4,000 jaringan tiga mata, melonjak ke kedudukan kedua buat kali pertama.

Peninju Britain, Tyson Fury, pula menduduki tempat ketiga dengan AS$146 juta, meskipun kehilangan gelaran heavyweight dunia kepada Oleksandr Usyk pada Disember lalu.

Pendapatan beliau disokong melalui kerjasama pelancongan dengan kerajaan Malta dan siri realiti Netflix.

Dak Prescott, quarterback pasukan NFL Dallas Cowboys, berada di tempat keempat dengan AS$137 juta, hasil daripada bonus tandatangan rekod dan lanjutan kontrak yang lumayan.

Sementara itu, bintang bola sepak Argentina Lionel Messi merosot ke tempat kelima walaupun mengekalkan jumlah pendapatan AS$135 juta, hasil gajinya di Inter Miami dan tajaan besar daripada Adidas serta Apple.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD