BIRMINGHAM, 16 Mei – Aston Villa meneruskan impian untuk beraksi dalam Liga Juara Eropah musim depan selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Jumaat.
Kemenangan tersebut mengekalkan mereka di tempat kelima liga dengan 66 mata, berkongsi mata dengan Chelsea dan dibezakan dengan jaringan gol.
Villa membuka jaringan pada minit ke-59 selepas Ezri Konsa menyempurnakan hantaran hasil tandukan Ollie Watkins berpunca daripada sepakan sudut.
Gol kedua hadir pada minit ke-73 menerusi rembatan deras Boubacar Kamara, sekali gus meranapkan moral Spurs yang kini meletakkan harapan pada perlawanan akhir Liga Europa menentang Manchester United di Bilbao, minggu depan.
Sementara itu, Jurulatih Villa, Unai Emery, meraikan kemenangan ke-54 dalam 100 perlawanan liga bersama kelab itu menyifatkan perjalan kelab berkenaan masih jauh.
"Kami perlu terus konsisten, fokus dan menuntut prestasi terbaik. Masih ada kerja yang perlu diselesaikan jika mahu ke Liga Juara Eropah," katanya.
Villa akan bertemu Manchester United pada perlawanan terakhir liga, manakala Chelsea akan ke Nottingham Forest.
Manchester City pula yang berada di tangga keenam dengan 65 mata masih mempunyai dua perlawanan menentang Bournemouth dan Fulham.
Dalam pada itu, kekalahan ke-21 Spurs musim ini menyaksikan mereka kekal di tangga ke-17 dengan hanya 38 mata sekali gus meletakkan mereka satu tangga di atas zon penyingkiran.
Meskipun para pemain menunjukkan prestasi hambar, ketua jurulatih Spurs, Ange Postecoglou, lega melihat kaptennya Son Heung-min yang baru kembali daripada kecederaan beraksi tanpa masalah menjelang perlawanan akhir Liga Europa.
"Dia sudah bersedia dan kembali mendapat rentak," katanya.
Namun begitu, Spurs gagal memberi ancaman besar dengan hanya tiga percubaan berbanding 18 oleh Villa. Pemain sayap Wilson Odobert hampir menjaringkan gol tetapi diselamatkan oleh penjaga gol Villa, Emiliano Martinez.
Postecoglou memuji usaha anak buahnya namun mengakui pasukannya kehilangan fokus selepas gol pertama Villa.
"Sebelum mereka jaringkan gol, kami bertahan dengan baik. Tapi selepas itu kami hilang keyakinan dan kepenatan mula menguasai," katanya.
Villa menguasai 69% penguasaan bola dan mencipta banyak peluang walaupun tanpa intensiti penuh, termasuk percubaan berbahaya dari Morgan Rogers dan Marco Asensio yang mencemaskan barisan pertahanan Spurs.-AFP.