SEMENYIH, 18 Jun – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menetapkan sasaran tinggi buat skuad ragbi 7 sebelah (7s) lelaki negara untuk mara ke perlawanan akhir di temasya Sukan SEA Thailand, Disember ini.
Timbalan Presidennya, Mohd Azmir Zainul Abidin berkata, sasaran itu berpandukan prestasi semasa pasukan dan pencapaian terdahulu, namun beliau tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada pemain.
Walaupun skuad Bunga Raya 7s yang menunjukkan peningkatan konsisten, Thailand dijangka menjadi pencabar utama selaku tuan rumah.
"Tahun ini persaingan sangat sengit. Saya rasa pada dua edisi Sukan SEA sebelum ini, Thailand tidak menurunkan barisan terbaik mereka. Namun kali ini mereka adalah tuan rumah dan telah memulakan latihan sejak dua tahun lalu, jadi itu adalah satu kelebihan besar buat mereka.
"Saya bukan kata sasaran kita mustahil untuk dicapai, tetapi adalah lebih baik kita letakkan sasaran awal tanpa memberi tekanan berlebihan kepada pasukan, khususnya pasukan lelaki," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara KRM dan Agym Nutrition, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan 7s lelaki kendalian ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man akan mengharungi beberapa perlawanan ujian antarabangsa menjelang temasya sukan dwitahunan itu dari 9 hingga 20 Disember ini bagi mengukur tahap kesiapsiagaan lebih awal.
Dalam pada itu, Mohd Azmir turut menyasarkan kedudukan tiga terbaik bagi skuad wanita berdasarkan prestasi yang dipamerkan pada kejohanan SEA 7s sebelum ini.
Malaysia sebelum ini meraih perak pada edisi 2015 di Singapura dan menebus kehampaan dengan emas ketika menjadi tuan rumah pada 2017, sebelum sekali lagi membawa pulang perak di Filipina pada 2019.
Acara itu tidak dipertandingkan pada edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.
Skuad wanita pula meraih gangsa pada edisi 2017 dan 2019.
Ketua jurulatih pasukan ragbi 7s lelaki, Nik Safuan Ismade Nik Man
Sementara itu, Nik Safuan Ismade optimis anak buahnya mampu menepati sasaran yang ditetapkan, walaupun mengakui Thailand adalah pencabar utama dalam misi memburu emas.
"Cabaran utama adalah Thailand yang mana mereka sudah menjalani latihan lebih kurang dua tahun tanpa henti. Kalau kita tengok prestasi pemain di Sea Seven di Singapura tempoh hari kita berada dibawah Thailand.
"Walaupun kita kalah tidak banyak bagi saya kita mampu untuk maju dan perkemas pasukan dari segi kesilapan yang kita buat di Singapura dan saya rasa kita boleh buat sesuatu kejutan," katanya.
Beliau turut memaklumkan sebagai persiapan, skuad negara akan menyertai kejohanan empat penjuru menentang Hong Kong, Thailand dan Singapura di Bangkok pada Ogos ini, sebelum beraksi dalam siri Asia di Hangzhou, China, September depan.

KRM turut memeterai kerjasama bersama Agym Nutrition
Dalam perkembangan lain, KRM turut memeterai kerjasama bersama Agym Nutrition yang akan menaja rangkaian produk pemakanan sukan seperti 'whey protein' dan 'creatine' bernilai hampir RM1 juta bagi tempoh tiga tahun untuk semua skuad kebangsaan.