CALIFORNIA, 18 Jun- Naib juara Liga Juara Eropah, Inter Milan, sekadar seri 1-1 menentang wakil Mexico, Monterrey, dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Kelab Kumpulan E yang berlangsung di Stadium Rose Bowl, Pasadena, di sini.
Monterrey mengejutkan Inter dengan jaringan pembukaan menerusi pemain veteran Sergio Ramos pada minit ke-25. Ramos 39 tahun melonjak tinggi menewaskan dua pertahanan Inter sebelum menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Oliver Torres.
Inter yang mendominasi hampir 65% penguasaan bola sepanjang permainan, berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Sepakan percuma oleh Kristjan Asllani dimanfaatkan oleh Carlos Augusto yang melakukan hantaran lintang tepat kepada kapten Lautaro Martínez untuk gol penyamaan.
Meskipun, mengawal tempo perlawanan, Inter gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang bagi memenangi perlawanan.
Sebaliknya, Monterrey hampir mencipta kejutan lewat permainan apabila Nelson Deossa nyaris menjaringkan gol kemenangan, namun rembatannya hanya singgah di jaring sisi gawang Inter.
Ini merupakan perlawanan pertama Cristian Chivu sebagai ketua jurulatih Inter selepas menggantikan Simone Inzaghi yang berpindah ke Al-Hilal.
Bagi Monterrey pula, ini merupakan penampilan pertama Domènec Torrent, bekas pembantu Pep Guardiola, sebagai pengendali kelab Liga MX itu.
Inter dijadualkan menentang Urawa Red Diamonds di Seattle pada Sabtu manakala Monterrey akan berdepan River Plate di Pasadena.-REUTERS.