fb fb fb fb fb

Skuad berbasikal lebuh raya wanita dapat slot ke Olimpik Paris

FOTO FB pkbmalaysia

KUALA LUMPUR, 16 November - Kem berbasikal lebuh raya wanita negara mendapat khabar gembira selepas diberikan satu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Slot berkenaan diraih susulan kejayaan pelumba negara pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) Thailand, Jun lepas.

Menurut Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, pihaknya akan menentukan pelumba mana yang layak mewakili negara pada temasya Paris tahun depan.

Pada Kejohanan ACC 2023 di Thailand, pelumba muda negara, Phi Kun Pan berjaya meraih pingat emas acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun.

Selain Kun Pan, seorang lagi pelumba negara Nur Aisyah Zubir yang memenangi dua pingat gangsa dalam acara lebuh raya dan kriterium wanita di Sukan SEA 2023 Kemboja, Mei lepas, juga berpotensi ke Paris 2024.

Kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki negara Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD