XIAMEN CHINA, 2 Mei - Skuad badminton negara belum bersedia untuk mencabar pasukan gergasi China.
Perkara itu diakui Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen selepas pasukan negara tewas 0-3 kepada China pada pusingan suku akhir Piala Sudirman 2025 hari ini.
Pengendali dari Denmark itu bagaimanapun tetap melihat perkembangan positif para pemain sepanjang kejohanan berkenaan berlangsung.
"Buat masa ini, sudah tentu perlawanan terakhir memberikan tekanan yang besar dan memerlukan tumpuan sepenuhnya daripada kami. Hari ini menentang China, ia menunjukkan nilai sebenar apabila berdepan pasukan bertaraf dunia. Prestasi mereka sangat tinggi dan kami masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk sampai ke tahap itu.
“Saya perlukan sedikit masa untuk melihat perkara positif sepenuhnya, tapi dalam keseluruhan perlawanan, ada beberapa detik kecil yang penting dan perlu kami manfaatkannya jika mahu menang. Hari ini, China terlalu kuat", katanya.
Beliau pada masa sama turut memuji semangat juang para pemain yang berjaya mengikut pelan permainan dan strategi pasukan walaupun berdepan tekanan hebat.