fb fb fb fb fb

Skuad B-15 Malaysia sertai Kejohanan Belia Australia 2025

Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR, 20 Jun-Skuad bola sepak bawah 15 tahun (B-15) negara bakal menyertai kejohanan remaja anjuran Persatuan Bola Sepak Australia, iaitu Emerging Matildas Championships dan Emerging Socceroos Championships 2025 yang akan berlangsung pada Julai depan.

Ini merupakan kali pertama pasukan antarabangsa dijemput menyertai kejohanan remaja yang telah dijenamakan semula itu.

Menerusi kenyataan rasmi, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Australia, Heather Garriock, berkata pemilihan Malaysia dibuat selepas proses penilaian rasmi terhadap minat dan kesesuaian negara anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ujarnya, penyertaan ini sejajar dengan hala tuju pembangunan bola sepak belia dan kerjasama serantau.

“Penyertaan Malaysia dalam Kejohanan Emerging Matildas dan Emerging Socceroos merupakan detik bersejarah dalam laluan pembangunan pemain muda kami.

"Kami sangat teruja untuk menyambut penyertaan Persatuan Bolasepak Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi baharu kami.

"Kerjasama ini akan memperkayakan pengalaman antarabangsa pemain muda dan mengukuhkan hubungan bola sepak dengan negara jiran,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, menyatakan penghargaan atas peluang tersebut dan menyifatkannya sebagai permulaan kepada kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif penting ini bersama Persatuan Bolasepak Australia. Penyertaan dalam kejohanan ini mencerminkan komitmen bersama terhadap pembangunan akar umbi dan kerjasama serantau.

"Kejohanan ini memberikan pendedahan yang amat bermakna kepada bakat muda kami dan mengeratkan hubungan dengan Australia, sebuah negara yang berkongsi visi pembangunan belia.

"Kami melihat ini bukan sekadar penyertaan, tetapi permulaan kepada hubungan jangka panjang antara kedua-dua persekutuan,” katanya.

FAM percaya bahawa penyertaan ini akan membantu membentuk pemain masa depan negara, selain membuka ruang kepada lebih banyak pertukaran ilmu, pembangunan teknikal, dan perpaduan serantau menerusi bola sepak.

Emerging Socceroos Championships 2025 dijadual berlangsung dari 6 hingga 11 Julai, manakala Emerging Matildas Championships akan berlangsung dari 15 hingga 20 Julai depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD