fb fb fb fb fb

Piala Dunia Kelab: Dua jaringan Barrios bantu Atletico Madrid jinakkan Seattle Sounders

Pablo Barrios (kiri) meraikan jaringannya berdepan Seattle Sounders/AFP

SEATTLE, 20 Jun- Atletico Madrid berjaya mencatatkan kemenangan pertama selepas menewaskan kelab dari Amerika Syarikat, Seattle Sounders 3-1 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia Kelab, awal pagi Jumaat.

Perancang muda, Pablo Barrios meledak dua gol penting untuk pasukan, bangkit daripada kekalahan 0-4 bertemu Paris Saint-Germain (PSG) pada Ahad.

Skuad bimbingan Diego Simeone itu tampil dengan aksi meyakinkan di Lumen Field untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.

Atletico tampil agresif sejak awal, dengan beberapa peluang keemasan terhidang termasuk kegagalan Alexander Sorloth menyempurnakan peluang terbuka dan percubaan Julian Alvarez yang tersasar selepas melakukan gerakan lincah di dalam kotak penalti.

Gol pembukaan hadir seawal minit ke-11 menerusi Pablo Barrios, yang menyudahkan hantaran rendah Giuliano Simeone dengan rembatan padu yang terkena palang sebelum menerjah gawang.

Seattle hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat melalui Baker-Whiting yang melepaskan rembatan deras, namun bola hanya sedikit tersasar.

Memasuki babak kedua, Simeone memasukkan Axel Witsel dan pemain veteran Belgium itu pantas mencipta impak apabila menanduk masuk bola hantaran Robin Le Normand, selepas percubaan Marcos Llorente terlebih dahulu menggegar palang.

Seattle yang hilang rentak permainan bagaimanapun kembali hidup melalui jaringan bijak Albert Rusnak dalam kotak penalti.

Lima minit kemudian, Barrios sekali lagi menambah derita Seattle dengan menyumbangkan gol kemenangan 3-1, menyempurnakan sepakan tenang ke penjuru gawang hasil lontaran jauh.

Seattle kini berada di ambang penyingkiran dan nasib mereka bergantung kepada keputusan perlawanan antara PSG dan Botafogo yang berlangsung lewat pagi ini.

Jika PSG tidak tewas, Seattle akan tersingkir daripada kejohanan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM