LONDON, 14 Julai – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Wimbledon pertamanya dengan menundukkan juara bertahan Carlos Alcaraz 4-6, 6-4, 6-4 dan 6-4 awal pagi tadi.
Kemenangan itu menjadikan Sinner sebagai pemain Itali pertama yang bergelar juara di All England Club.
Pada usia 23 tahun, beliau kini telah merangkul empat kejuaraan Grand Slam dalam kariernya.
Sinner kini pemain Itali pertama bergelar juara di All England Club - AFP
Sinner kekal tenang walaupun tewas set pertama, namun momentum perlawanan berpihak kepadanya selepas itu. Beliau menamatkan aksi penuh mendebarkan itu dalam masa lebih tiga jam.
Di Roland Garros lima minggu lalu, Sinner tewas kepada Alcaraz, namun kali ini, beliau tidak mengulangi kesilapan yang sama dan berjaya membalas kekalahannya.
Pertembungan antara Sinner dan Alcaraz dianggap sebagai permulaan kepada era baharu dalam dunia tenis - AFP
“Saya seperti hidup dalam mimpi,” kata Sinner, menerima sorakan gemuruh dari penonton.
"Terima kasih kepada Carlos. Ini satu kejohanan yang menakjubkan. Sukar untuk menentang anda, tetapi kita mempunyai hubungan yang baik di dalam dan di luar gelanggang. Teruskan usaha, dan anda pasti akan memegang trofi ini lagi. Anda sudah ada dua!" katanya.
Pertembungan antara Sinner dan Alcaraz dianggap sebagai permulaan kepada era baharu dalam dunia tenis, selepas zaman kegemilangan Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic. - AFP