MARSEILLE,10 Ogos- Juara dunia Maximilian “Max” Maeder mencipta sejarah dengan menyumbangkan pingat pertama Singapura di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih gangsa dalam acara 'kitefoil' Lelaki pada Jumaat di Marina Marseille.
Pencapaian atlet berusia 17 tahun itu menjadikannya pemenang pingat Olimpik termuda Singapura.
Kejayaan itu hadir tepat pada waktunya ketika Singapura meraikan Hari Kebangsaan ke-59.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi oleh Valentin Bontus dari Austria manakala Toni Vodisek dari Slovenia membawa pulang perak.
Perdana Menteri Lawrence Wong, menerusi satu hantaran di Facebook mengucapkan tahniah kepada Max.
"Tahniah Max atas pingat gangsa dalam 'kitefoil'! Terima kasih atas hadiah hari jadi yang indah untuk Singapura. Semoga pasukan Singapura berjaya dalam acara sukan yang lain," katanya.