PARIS, 10 Ogos- Juara dunia lapan kali, Lea Sophie Friedrich dari Jerman, membuat kemunculan semula yang mengagumkan di velodrom Olimpik pada Jumaat selepas kecewa kerana tersingkir dalam separuh akhir keirin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pelumba berusia 24 tahun itu mencatat rekod dunia dengan masa 10.029 saat bagi 200 meter dalam pusingan kelayakan acara pecut.
Ini meletakkan Friedrich di tangga teratas dalam penarafan, yang akan menentukan kedudukan seterusnya dalam acara itu.
Rakan senegaranya, Emma Hinze, yang juga gagal meraih pingat dalam acara keirin pada Khamis dengan menduduki tempat kelima, terpaksa berpuas hati di tempat keenam dalam pembukaan acara pecut dengan catatan masa 10.198 saat.
Di belakang Friedrich, juara pecut pasukan Olimpik Britain, Emma Finucane (10.067), dan pelumba New Zealand, Ellesse Andrews (10.108), masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Rekod lama dipegang oleh Kelsey Mitchell dari Kanada lima tahun lepas dengan catatan masa 10.154 saat.
Friedrich masih bergelut untuk memahami penyingkirannya dalam keirin pada Khamis.
Beliau berkata: "Saya tidak dapat menenangkan fikiran. Saya berlumba seperti saya tidak pernah berlumba sebelum ini. Pasif, bukan aktif. Saya tidak mengenali diri saya yang begitu. Ada banyak tekanan."- BERNAMA-dpa