fb fb fb fb fb

Siaran skrin layar besar, KBS saran PBT sediakan lokasi khas

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

LANGKAWI, 4 Februari- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan satu lokasi khas bagi siaran skrin layar besar kepada rakyat Malaysia.

Kejayaan KBS menghimpunkan lebih 78,000 penonton sempena aksi Harimau Malaya di pentas Piala Asia Qatar 2023, dilihat sebagai satu perkara yang positif.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, perkara itu telah disuarakan dalam perjumpaan bersama-sama exco-exco sukan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau berharap pihak PBT boleh melabur dalam mewujudkan skrin layar besar berkenaan, kerana ia memberi impak yang baik kepada rakyat.

"Jadi, selepas kita buat usaha itu, kita lihat ia diterima oleh rakyat. Walaupun ditayangkan di RTM tetapi mereka suka datang dengan kawan-kawan, tonton aksi atlet negara yang bersaing di pentas Asia."

"Perkara ini beri impak positif kerana ada ibu bapa yang turut bawa anak-anak ke Bukit Jalil pada pukul 1.30 pagi, untuk saksikan perlawanan itu," kata Hannah kepada pemberita selepas majlis penyerahan padang bola sepak sintetik di Kampung Kumpulan, Langkawi, Kedah, hari ini.

Padang bola sepak sintetik yang pertama di pulau itu telah siap dibina pada 2 Januari 2024 dengan kos RM3.5 juta.

Menurut Hannah, bagi tujuan pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti ia diserahkan kepada Majlis Perbandaran Langkawi.

Beliau juga berharap padang sintetik tersebut bakal menjadi medan untuk mencungkil bakat baharu bagi sukan bola sepak negeri dan seterusnya boleh mewakili negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM