fb fb fb fb fb

Datuk Seri Mohd Shuhaily kenang jasa Paramalingam

Datuk Seri Mohd Suhaily (kiri) menceritakan pengalamannya ketika menjadi atlet hoki ketika dilatih C.Paramalingam (kanan)

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Disiplin yang dibentuk ketika menjadi pemain bawah kendalian bekas jurulatih hoki kebangsaan, C Paramalingam, menjadikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sebagai seorang yang lebih tegas dan bertanggungjawab.

Berkongsi pengalamannya ketika mengunjungi bekas atlet Olimpik yang berusia 89 tahun itu, di kediamannya di Jalan Keriang, pagi tadi, Datuk Seri Suhaily turut melahirkan kesyukuran dapat bertemu dengan salah seorang insan penting yang membawanya ke dunia sukan hoki.

"Saya rasa saya dapat asas merancang dan kerja berpasukan daripada jurulatih-jurulatih yang hebat dan bagus.

"Jurulatih akan menjadikan kita matang, bagi saya ketika itu saya belum matang untuk bermain dalam hoki dan itulah sebabnya saya tidak berjaya menyertai pasukan kebangsaan, tetapi akhirnya dalam karier itulah dinamik dan elemen yang mesti ada,"katanya.

Datuk Seri Suhaily mula bermain hoki seawal usia 12 tahun, pernah mewakili Selangor dalam beberapa kejohanan seperti Piala Razak, Sukan Malaysia (SUKMA) dan liga nasional.

Beliau turut menyatakan hasratnya untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama rakan seperjuangan beliau semasa dilatih Paramalingam.

Sementara itu, Paramalingam berkata beliau terharu dan melahirkan rasa gembira apabila dapat bertemu semula dengan anak-anak buahnya, selepas sekian lama tidak berjumpa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE