fb fb fb fb fb

Alami simptom 'pericarditis', Azizulhasni terpaksa tarik diri acara pecut

Datuk Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Selepas meraih emas dalam acara keirin Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) semalam, kemaraan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara pecut berakhir di peringkat penentuan pingat gangsa hari ini apabila terpaksa menarik diri.

Dalam satu hantaran di laman Instagram rasminya, Azizulhasni akur kecewa apabila tidak dapat meneruskan saingannya susulan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Azizulhasni berkata, dia mula mengalami simptom 'pericarditis' sejurus tamat saingan separuh akhir.

Susulan itu, keputusan untuk menarik diri diambil selepas mendapat nasihat pakar perubatan bagi mengelakkan sebarang risiko.

“Meskipun (berdepan) cabaran-cabaran ini, ia adalah hari yang produktif selepas perlumbaan keirin semalam dan saya berikan yang terbaik dalam pecut hari ini. Saya berterima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua pihak dan saya minta maaf kerana tidak dapat menghabiskan perlumbaan.

“Sekarang, fokus saya adalah pada pemulihan dan saya akan kembali berlatih secepat mungkin sebaik sahaja saya cergas semula. Terima kasih semua kerana memahami dan memberi galakan,” katanya.

Semalam, Azizulhasni mengungguli acara akhir keirin selepas menamatkan aksi dengan catatan masa 9.91 saat dengan kelajuan 72.6 kilometer sejam.

0402 AZIZUL TARIK

Hantaran Azizulhasni Awang di platfrom media
sosialnya berhubung penarikan diri acara pecut hari ini

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE