KUALA LUMPUR, 7 Disember- Kategori Penjaga Gol Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) bakal memperlihatkan pemenang baharu selepas ketiadaan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias yang mengungguli anugerah ini sejak empat musim lalu.
Bagi edisi kali ini, tiga penjaga gol yang masing-masing mempunyai reputasi tersendiri bakal merebut gelaran itu ialah Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dari Negeri Sembilan FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Petaling Jaya City FC) dan Muhammad Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC).
Bagi Kalamullah, beliau sedikit terkejut apabila namanya sekali lagi tersenarai buat musim ketiga berturut-turut sebagai calon kategori penjaga gol terbaik.
Namun beliau tidak meletakkan harapan tinggi kerana berasakan prestasinya musim ini tidak begitu memuaskan berbanding dua calon lain.
“Tercalon dalam tiga terbaik sudah buat saya gembira dan semuanya bergantung kepada rezeki untuk menang memandangkan saingan agak hebat daripada dua calon lain.
“Saya mahu dedikasikan pencalonan ini kepada PJ City yang memberi saya ruang untuk beraksi selama empat musim. Tanpa sokongan mereka, siapalah saya dan mungkin tidak berada seperti hari ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.
Sementara itu, Muhammad Rahadiazli berbangga apabila disenarai pendek buat pertama kali dan menganggap itu sebagai simbol kepada usaha kerasnya untuk bangkit daripada kecederaan Anterior Cruaciate Ligament (ACL) yang dialami musim lepas.
“Saya kembali diberi ruang untuk bermain dan saya ucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat, tetapi saya sedikit terkilan kerana tidak dapat bawa pulang trofi ke bumi Terengganu musim ini dan saya harap untuk terus belajar jadi yang terbaik,” katanya.
ABK22 yang mempertandingkan keseluruhan 16 kategori termasuk Pemain Paling Bernilai (MVP) akan berlangsung secara maya pada 15 Disember ini.