fb fb fb fb fb

Kalamullah berhijrah ke KDA FC

ALOR SETAR, 7 Disember- Kedah Darul Aman (KDA FC) terus rancak memburu pemain berkaliber untuk memperkukuhkan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Terbaru, pasukan Sang Kenari berjaya mengikat penjaga gol Harimau Malaya, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi ke bumi Jelapang Padi.

KDA FC dalam kenyataan memaklumkan, pemain berusia 27 tahun itu yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan adalah bekas pemain PJ City FC dan merupakan penjaga gol skuad Harimau Malaya.

KDA FC berkata kehadiran Kalamullah sudah pasti memberi persaingan sihat di benteng akhir pasukan Sang Kenari dan Nombor jersi 22 menjadi milik beliau di musim 2023.

Kalamullah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama KDA FC dan kehadiran beliau di waktu prestasi kemuncak memberi suntikan positif bagi Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain untuk memperkukuhkan benteng terakhir pasukan Sang Kenari.

Dalam sesi menandatangani kontrak pemain baru-baru ini, Kalamullah teruja mewakili Sang Kenari dan peluang ini adalah idaman buatnya untuk beraksi bersama pasukan yang mempunyai reputasi besar dan asas sokongan penyokong yang padu.

(Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi)

Kalamullah pernah beraksi bersama pasukan Felda United FC pada 2017-2018 dan Petaling Jaya City FC pada 2019 hingga 2022.

Kalamullah kini bersama skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kemboja dan Maldives, masing-masing pada 9 dan 14 Disember 2022.

Media Baharu