TOKYO, 1 Februari-Bekas pemain antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa kembali ke kancah Liga Jepun dengan menyertai kelab Cerezo Osaka selepas sedekad berkelana di Eropah.
Perancang berusia 33 tahun itu yang memulakan karier bersama Cerezo Osaka sebelum menyertai Borussia Dortmund pada 2010.
Kagawa berjaya membantu kelab bimbingan Jurgen Klopp memenangi dua kejuaraan Bundesliga dan satu kejuaraan Piala Jerman.
Kelibat dan kecemerlangannya menarik minat Pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson yang membawanya masuk ke kelab berkenaan pada 2012.
Di bawah kendalian Alex Ferguson Kagawa berjaya membantu skuad 'Red Devils' menjuarai Liga Perdana Inggeris pada tahun tersebut yang merupakan tahun terakhir buat 'Fergie' sebelum bersara sebagai pengurus.
Pelantikan David Moyes sebagai pengurus baharu Manchester United pada 2013 mengubah nasib Kagawa. Dia diketepikan oleh pengurus berkenaan dan sering memanaskan bangku simpanan sebelum kembali semula ke Borussia Dortmund pada 2014.
Kagawa membantu kelab tersebut memenangi Piala Jerman pada 2017. dia berjaya menjaringkan 60 gol dan membuat 200 penampilan buat kelab tersebut.
Dia kemudian bermain di Turki, Sepanyol dan Belgium dengan kelab terakhirnya adalah Sint-Truiden.
Kagawa memenangi 90 caps penampilan buat Jepun dan menjaringkan 31 gol buat 'Samurai Biru' dan bermain pada dua kejohanan Piala Dunia.-AFP
(Shinji Kagawa kembali sertai Liga Jepun bersama Crezo Osaka/FOTO FB /FootballJapan)