LONDON, 1 Februari - Perkembangan jendela perpindahan Januari yang ditutup semalam.
Kelab England, Chelsea melengkapkan perpindahan perancang Argentina, Enzo Fernandez dari Benfica dengan rekod termahal Britain iaitu £106.8 juta.
(Enzo Fernandez / Foto Reuters)
Perkara itu disahkan Benfica dalam satu kenyataan sambil memaklumkan Chelsea bersedia membayar harga penebusan kontrak Fernandez itu yang sebelum ini telah disambung selama 8 tahun setengah.
Harga perpindahan itu juga mengatasi rekod £100 juta yang dibayar Manchester City kepada Aston Villa ketika mendapatkan perancang England, Jack Grealish pada 2021.
Fernandez merupakan antara tonggak utama Argentina yang menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar tahun lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu turut dinobatkan sebagai pemain muda terbaik dalam kejohanan tersebut.
Fernandez yang memulakan kariernya bersama kelab Argentina, River Plate, menyumbang 4 gol dan 7 bantuan jaringan buat Benfica sejak menyertai kelab itu tahun lalu.
Dia menjadi pemain kelapan dibawa The Blues pada jendela perpindahan januari ini. - Reuters