BEIJING, 10 Jun- Sejurus selepas menjulang kejuaraan di Terbuka Indonesia pada Ahad, pemain perseorangan China, Shi Yuqi akan naik ke ranking nombor satu dunia buat kali pertama minggu ini.
Ia sekali gus muncul sebagai tonik terbaik untuknya menjelang temasya Olimpik Paris, berbaki enam minggu sahaja lagi.
Pemain berusia 28 tahun itu menyingkirkan Viktor Axelsen dari Denmark yang menghuni ranking teratas itu selama 183 minggu.
Shi Yuqi meraih kejuaraan di Terbuka Indonesia buat kali pertama pada Ahad dengan kemenangan 21-9, 12-21, 21-14 ke atas seorang lagi warga Denmark, Anders Antonsen.
Penyandang juara Olimpik, Axelsen menarik diri akibat kecederaan menjelang acara di Jakarta, bermakna Shi akan menjadi pemain nombor satu baharu walau apa cara sekalipun.
"Secara keseluruhannya saya rasa sukar untuk saya mencapai nombor satu dan juga ia bukan laluan yang lancar untuk saya merangkul gelaran di sini," kata Shi di Jakarta.
“Kejohanan ini dilihat sebagai latihan sebelum Sukan Olimpik,” tambahnya.
"Saya masih tidak tahu sejauh mana saya akan pergi, tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk menjadi juara di sana,"katanya.
Persekutuan Badminton Dunia BWF akan mengemas kini rangking pemain pada hari Selasa.-AFP