KUALA LUMPUR, 22 Januari- Atlet perseorangan lelaki China, Shi Yuqi dinobat sebagai juara selepas menewaskan wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu pada aksi akhir Terbuka India.
Yu Qi, 27, dicabar hebat Cheuk Yiu namun menundukkannya dalam aksi 'straight sets', 23-21 dan 21-17.
Pemain di kedudukan ke-2 dunia itu membawa pulang hadiah bernilai AS$ 59,500 dolar dan 11,000 mata BWF.
Kemenangan itu turut menebus kekalahannya tempoh hari kepada wakil Denmark, Anders Antonsen di pusingan akhir Terbuka Malaysia.
Yu Qi terlebih dahulu menundukkan empat pemain dalam kempen Terbuka India iaitu H.S Prannoy (India), Koki Watanabe (Jepun), R. Gemke (Denmark) dan rakan senegara, Weng Hongyang.
Sementara itu, aksi akhir beregu lelaki menyaksikan wakil tuan rumah, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty tewas kepada wakil Korea Selatan, Seo Sung Jae-Kang Min Hyuk 21-15, 11-21 dan 18-21.
S.Rankireddy-C.Shetty sekali lagi gagal untuk menjulang kejuaraan musim 2024 selepas tunduk kepada wakil China di Terbuka Malaysia.
Beregu wanita dimenangi Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun manakala wakil Thailand, D. Puavaranukroh-S. Taerattanachai dinobat pemenang bagi kategori beregu campuran.