fb fb fb fb fb

56 pasukan sertai Pertandingan Hoki 6 Sebelah B-12 Tahun, di Kuala Pilah

Pengerusi Persatuan Hoki Daerah Kuala Pilah, Redzuan Ahmed Abdullah

KUALA PILAH, 21 Januari- Sebanyak 56 pasukan yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, kelab hoki seluruh negara serta pasukan jemputan menyertai Pertandingan Hoki 6 Sebelah B-12 Tahun, yang berlangsung di Padang Hoki Astroturf, Sekolah Sukan Negeri Sekolah Menengah Kebangsaan Zaaba, Kuala Pilah.

Menurut Pengerusi Persatuan Hoki Daerah Kuala Pilah, Redzuan Ahmed Abdullah, penganjuran pertandingan hoki tersebut menjadi medan untuk mengcungkil bakat peserta khususnya pelajar sekolah agar menjadi pelapis dalam sukan hoki di Malaysia.

Kejohanan diadakan  bersempena Hari Keputeraan Ke-76 Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

"Tujuan kita yang pertama ialah untuk menyambut Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dengan lebih meriah lagi dan memastikan bahawa Kuala Pilah ini dapat membuat pembangunan sukan hoki melalui penampilan pasukan luar yang akan memberi tamparan yang lebih baik kepada pemain di sini.

"Kita akan teruskan penganjuran  dan fokus kepada kejohanan yang lebih besar melibatkan beberapa pasukan dari luar juga dan kita cuba tarik perhatian kelab dari luar negara,"katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan  Hoki 6 Sebelah B-12 Tahun, di Padang Hoki Astroturf, Sekolah Sukan Negeri Sekolah Menengah Kebangsaan Zaaba, Kuala Pilah.

Sementara itu, juara bagi kategori lelaki 12 Champion Pool dimenangi pasukan Lang Merah, naib juara Ultimate Black dan ketiga Sendayan Boys.

Manakala, bagi kategori perempuan 12 Champion Pool dimenangi Seteguhrianz Girl A, kedua Black Thundee Girl dan ketiga Sakura.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE