DOHA, 21 Januari - Tajikistan akan bermain pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A menentang Lubnan seperti perlawanan akhir dalam usaha memburu kemenangan pertama, kata jurulatih pasukan berkenaan, Petar Segrt.
Ketika ini, Tajikistan dan Lubnan masing-masing mempunyai satu mata hasil perlawanan terdahulu.
Kedua-dua pasukan kini menduduki tangga keempat dan kelima di belakang pasukan tuan rumah, Qatar yang terlebih dahulu melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik selepas menang kedua-dua perlawanan.
Tajikistan dan Lubnan berpeluang melayakkan diri seandainya pasukan China tewas pada perlawanan terakhir menentang Qatar.
"Saya berasakan seluruh rakyat Tajikistan sangat tertekan sekarang.
"Namun, tidak bagi para pemain. Kesempatan bermain di kejohanan ini merupakan satu penghormatan. Kami dalam keadaan terbaik dan berhasrat untuk menang", kata Segrt kepada pemberita menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada Isnin.
"Pada kami, ini merupakan sesuatu yang penting buat pasukan bagi kekal lama dalam pertandingan yang menarik ini.
"kami ingin layak ke pusingan berikutnya. Kami akan ada 'perlawanan akhir' esok (Isnin) sama seperti Lubnan", tambah Segrt.
Sementara itu, pengendali Lubnan, Miodrag Radulovic turut menjelaskan faktor nasib turut menjadi penentu selepas menyaksikan deretan peluang yang dihasilkan oleh para pemainnya gagal diterjemahkan ke jaringan gol pada dua perlawanan awal sebelum ini.
"Situasi dalam kumpulan ini sangat menarik. Terdapat tiga pasukan yang masih belum menjaringkan gol.
"Kami mencipta peluang bagi menjaringkan gol pada perlawanan menentang Qatar dan China. Kadang-kala kami memerlukan nasib, tetapi saya berpuas hati dengan persembahan para pemain", kata Radulovic.
"Kami akan menyerang daripada permulaan perlawanan seperti yang kami lakukan ketika menentang China.
"Harap-harapnya, kami dapat menjaringkan gol pada perlawanan penting seperti ini. Saya yakin pasukan kami mampu menjaringkan gol esok (Isnin)", tambah Radulovic.-REUTERS