ROME, 21 Januari - Dua gol hasil gerakan menarik oleh Stephan El Shaarawy memberikan kemenangan pertama buat AS Roma 2-1 ketika menentang Hellas Verona selepas kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Kemenangan itu sekali gus memberikan kemenangan pertama di bawah pengendali baharu, Daniele De Rossi
Pada perlawanan yang dilangsungkan di laman sendiri itu, AS Roma berjaya mendapatkan gol pertama menerusi Romelu Lukaku pada minit ke-19 berpunca daripada hantaran El Shaarawy yang menemui Lukaku yang tidak dikawal pertahanan lawan.
Gol tersebut merupakan jaringan kesembilan Lukaku dalam Serie A musim ini.
Jaringan tersebut menyemarakkan lagi semangat AS Roma dalam usaha memburu gol.
AS Roma berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-26 sekali lagi hasil sentuhan El Shaarawy yang berjaya membuat hantaran lintang dari penjuru kanan dan menemui Lorenzo Pellegrini.
Pellegrini berjaya menghasilkan rembatan voli yang menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 2-1.
Pasukan pelawat, Hellas Verona hampir-hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-30 selepas diberikan sepakan penalti oleh pengadil selepas bola terkena tangan pemain Roma, namun sepakan Milan Djuric tersasar sekali gus menyelamatkan pintu gol tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Hellas Verona berjaya merapatkan jurang pada minit ke-76 apabila Michael Folorunsho berjaya menjaringkan gol selepas rembatan lencongnya gagal diselamatkan penjaga gol AS Roma, Rui Patricio.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan.
"Kami perlu meraikan kemenangan ini dengan penuh keazaman walaupun pasukan tidak bermain baik pada 25 minit pertama.
"Mereka memperlihatkan kesungguhan dan keazaman bagi memenangi perlawanan", kata De Rossi kepada DAZN.
Suasana di Stadio Olimpico sangat meriah dengan sokongan para penyokong AS Roma bagi menyaksikan pemulaan era baharu selepas pemergian bekas pengurus, Jose Mourinho minggu lalu.
Pengurus berusia 60 tahun itu di pecat awal minggu lalu susulan prestasi hambar AS Roma yang hanya memenangi satu daripada enam perlawanan sebelum ini.-REUTERS