fb fb fb fb fb

Isu perkauman bola sepak perlu diperangi- Maignan

Penjaga gol AC Milan, Mike Maignan mengatakan sesuatu kepada pengadil perlawanan ketika perlawanan menentang Udinese pada Sabtu/ FOTO REUTERS

MILAN, 21 Januari - Penjaga gol AC Milan, Mike Maignan menggesa agar sesuatu perlu dilakukan bagi memerangi isu rasisme dalam bola sepak.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh penjaga gol berkenaan selepas meninggalkan padang sebagai tanda protes ketika perlawanan menentang Udinese pada sabtu yang menyaksikan AC Milan menang 3-2.

Pada perlawanan berkenaan, Maignan telah mengingatkan pengadil perlawanan berhubung ejekan berbaur perkauman yang dihamburkan oleh penyokong tuan rumah sebelum meninggalkan padang.

Menurut media Itali, tindakan Maignan turut diikuti oleh rakan sepasukan sebelum dia kembali meneruskan permainan.

"Saya tidak boleh bermain bola sepak dalam situasi begini. Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku

"Mereka (penyokong) perlu digantung kerana bercakap tidak lagi membuahkan apa-apa hasil", kata Maignan kepada Sky Sports Itali.

"Kita perlu katakan bahawa apa yang dilakukan oleh mereka (penyokong) adalah salah. Bukan semua melakukannya. Hanya segelintir daripada mereka", tambah Maignan.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino menunjukkan sokongan terhadap Maignan dan menggesa agar tindakan tegas diambil bagi membanteras isu rasisme dalam bola sepak.

"Kejadian yang berlaku di Udinese dan Sheffield Wednesday adalah sesuatu yang memalukan dan tidak boleh diterima.

"Tiada tempat untuk rasisme atau semua bentuk perkauman sama ada dalam bola sepak atau sosial.

"Para pemain yang terkesan pada pertandingan pada Sabtu menerima sokongan daripada saya", kata Infantino dalam kenyataan.

"Terdapat tiga proses yang boleh dilakukan iaitu perlawanan dihentikan sementara, kedua, perlawanan dihentikan sekali lagi dan terakhir adalah menggantung perlawanan.

"Kita juga perlu menguatkuasan kekalahan secara automatik kepada pasukan yang membiarkan penyokongnya terlibat dalam rasisme dan menyebabkan perlawanan ditangguhkan.

"Selain itu, kita perlu menguatkuasakan larangan memasuki ke stadium dan hukuman jenayah untuk kerana bersikap rasis", tambah Infantino.

Sementara itu, media England turut melaporkan kes sama yang dialami oleh pemain tengah Coventry, Kasey Palmer yang mendakwa penyokong Sheffield Wednesday melakukan ejekan berbaur perkauman terhadapnya ketika perlawanan Liga Kejuaraan Inggeris yang menyaksikan pasukannya menang 2-1 pada Sabtu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD