fb fb fb fb fb

Forestieri kembali bersama JDT untuk musim 2024/25

Foto FB JDT

JOHOR BAHRU, 22 Januari- Penyerang kelahiran Argentina, Fernando Forestieri kekal kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan musim 2024-2025.

Dua minggu selepas diumum bakal meninggalkan Harimau Selatan, juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu membuat pusingan U apabila mengekalkan pemain berusia 34 tahun tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pemilik kelab Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Forestieri dan beliau sendiri.

Pada 7 Januari lepas, JDT mengesahkan Forestieri akan meninggalkan kelab itu sambil mengucapkan terima kasih atas khidmat pemain berbisa yang menyertai kelab itu pada permulaan musim 2022.

Forestieri merupakan sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah memenangi 'double quadruple' pada 2022 dan 2023.

Pemain yang mempunyai keupayaan bermain selaku penyerang dan sayap kiri, Forestieri telah meledak 47 gol dan 21 bantuan jaringan sepanjang 69 penampilan bersama JDT.

Bekas pemain bawah 21 tahun Itali itu sebelum ini, pernah menyertai beberapa kelab di Eropah antaranya Malaga, Watford dan Udinese.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM