KUALA LUMPUR, 22 Januari- Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan kempen kelayakan Olimpik di Oman di kedudukan kelima.
The Speedy Tigers mengatasi Kanada 3-1 menerusi penentuan penalti pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-keenam pada Ahad.
Terdahulu, skuad negara terikat tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-18 dunia itu di Stadium Oman, Muscat.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan pukulan penalti.
Gol-gol Malaysia dijaringkan oleh Muhammad Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Penjaga gol Malaysia, Muhammad Hafizuddin Othman dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Kemenangan itu dilihat sedikit mengubati kekecewaan pasukan negara yang gagal layak ke Olimpik Paris 2024.
Anak buah Arul Selvaraj menamatkan saingan peringkat Kumpulan A dalam kejohanan kelayakan itu, di kedudukan tercorot dengan satu mata di belakang juara kumpulan Great Britain (9 mata), Pakistan (4 mata) dan China (3 mata).