fb fb fb fb fb

Serie A : Roma pesta gol, Ranieri raih kemenangan pertama

Claudio Ranieri / Foto REUTERS

ROME, 8 Disember-Roma membelasah Lecce 4-1 dalam aksi Serie A pada Sabtu, memberikan Claudio Ranieri kemenangan pertamanya sejak dilantik sebagai jurulatih pada pertengahan November lalu.

Ranieri, jurulatih berusia 73 tahun yang terkenal dengan kejayaan membawa Leicester City memenangi Liga Perdana Inggeris pada 2016, kini menjadi jurulatih ketiga Roma dalam musim ini.

Selepas mencatat satu seri dan dua kekalahan, Roma akhirnya bangkit di Stadium Olimpico.

Babak pertama menyaksikan perlawanan sengit apabila gol pembukaan Alexis Saelemaekers disamakan oleh Nikola Krstovic menerusi sepakan penalti pada minit ke-40.

Namun, babak kedua menjadi milik Roma apabila mereka berpesta dengan jaringan Gianluca Mancini, Niccolo Pisilli, dan pemain tengah Perancis, Manu Kone.

Kemenangan tersebut melonjakkan Roma ke tangga ke-11 liga.

Sementara itu, di Allianz Stadium, Juventus hampir menerima kekalahan mengejut sebelum berjaya mengikat Bologna 2-2 hasil jaringan dramatik Samuel Mbangula pada masa kecederaan.

Juventus kini di tangga keenam, tujuh mata di belakang pendahulu Serie A, Atalanta.

Pada perlawanan tersebut, Juventus dikejutkan dengan gol awal Bologna menerusi Dan Ndoye yang menyudahkan hantaran cantik dari sudut sukar pada minit ke-30.

Tommaso Pobega menambah derita Juventus dengan gol kedua tujuh minit selepas separuh masa kedua bermula.

Namun, Juventus tidak mengalah. Teun Koopmeiners merapatkan jurang dengan gol pada minit ke-62, sebelum Mbangula, yang masuk sebagai pemain gantian, melakukan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan di saat-saat akhir.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD