fb fb fb fb fb

Harimau Malaya kongsi mata dengan Kemboja

FOTO FACEBOOK HarimauMalaya

PHNOM PENH, 8 Disember- Malaysia memulakan kempen Piala ASEAN 2024 dengan kurang meyakinkan apabila sekadar meraih keputusan seri 2-2 dengan Kemboja pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh di sini malam ini.

Apa yang kelihatan sebagai perlawanan berat sebelah selepas Malaysia mendahului di separuh masa pertama bertukar menjadi aksi mendebarkan di hujung perlawanan apabila kedua-dua pasukan mempertaruhkan barisan pemain muda serta beberapa pemain naturalisasi dalam usaha merebut tiga mata penuh.

Skuad Harimau Malaya membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi pemain Sabah FC, Stuart John Wilkin, yang berjaya menebus kegagalan percubaan pertamanya hanya selepas lapan minit permainan bermula.

Aksi kedua-dua pasukan dilihat lebih bertenaga meskipun perlawanan bermula agak hambar.

Namun, kekurangan kreativiti dan penyudah yang tumpul memberikan sedikit ancaman kepada penjaga gol Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli dari Perak FC sepanjang babak pertama.

Malaysia hampir menambah jaringan pada minit-minit akhir separuh masa pertama tetapi kelemahan penyudah di depan gawang gagal membuahkan hasil.

Memasuki separuh masa kedua, Kemboja bangkit dengan jaringan penyamaan menerusi Coulibaly Abdel Kader pada minit ke-52, sekali gus mengubah tempo permainan.

Disokong sorakan padu penyokong tuan rumah, Nicolas Doeung Taylor hampir menambah gol buat Kemboja apabila percubaannya singgah di jaring sisi gawang, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Muhammad Haziq.

Kemboja akhirnya mendahului 2-1 pada minit ke-60 menerusi Ty Sa yang menyempurnakan peluang di dalam kotak penalti.

Malaysia kembali mengikat kedudukan pada minit ke-74 selepas kesilapan penjaga gol Kemboja, Dara Vireak, membuka ruang buat Fergus Tierney menyumbat gol penyamaan hasil rembatan rendah yang bergolek ke sebelah kiri gawang.

Anak buah Pau Marti Vicente seterusnya akan menentang Timor Leste bagi aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Malaysia menghuni Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Singapura dan Timor Leste sementara Kumpulan B terdiri daripada Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA