KUALA LUMPUR, 31 MEI - Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagopal, melihat keputusan seri 1-1 menentang Cape Verde sebagai satu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh prestasi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Namun, beliau mengingatkan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
Tambah beliau, walaupun terlalu awal untuk membuat penilaian secara menyeluruh, beliau yakin jurulatih baharu negara, Peter Cklamovski, mempunyai strategi jangka panjang tersendiri bagi memperkukuh pasukan kebangsaan menjelang aksi penting yang akan datang.
"Setiap jurulatih mempunyai perancangannya sendiri. Sebelum ini, Malaysia menentang Nepal dan kita dapat lihat ada peningkatan dalam perlawanan kedua ini. Namun, masih banyak kerja keras yang perlu dilakukan. Sebagai jurulatih, beliau tahu apa yang perlu dilakukan, terutamanya apabila kita bakal berdepan pasukan seperti Vietnam dalam saingan kelayakan Asia.
Beliau lebih tahu mengenai aspek-aspek taktikal dan pemain-pemain yang dimilikinya. Hanya beliau yang tahu pemain mana yang sesuai untuk diturunkan ketika menentang Vietnam dan itu adalah perkara yang paling utama,
saya tidak boleh buat satu rumusan secepat mungkin hanya kalau saya sebagai jurulatih bila saya lihat mungkin perlawanan 10 perlawanan ke atas baru saya boleh buat penilaian ada tak peningkatan atau tidak", katanya selepas melancarkan buku biografi bertajuk Inilah Saya
K. Rajagobal sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini, hari ini.
Skuad negara akan menentang pasukan dari benua Afrika itu dalam satu lagi aksi persahabatan tertutup yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Selasa.
Ini sebagai persediaan menghadapi Vietnam dalam aksi Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun nanti.