PORT DICKSON, 31 Mei - Seramai 154 peserta dari sembilan buah negara mengambil bahagian dalam edisi pertama Negeri Sembilan Forest Orienteering Cup 2025 yang buat julung kalinya diadakan di Port Dickson (PD) Forest@Sungai Menyala.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Hamidi Abd Halim, program tersebut telah menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara, bertepatan dengan persiapan sempena dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMMNS) 2026.
"Memandangkan tahun 2026 adalah tahun melawat Malaysia dan tahun melawat Negeri Sembilan, jadi acara sukan orienteering berjaya menjadi penggalak dalam menjana ketibaan pengunjung ke negeri ini untuk menikmati suasana dan ekopelancongan menarik di negeri ini," katanya.
Tambahnya, pemilihan lokasi bagi acara sukan itu juga bersesuaian memandangkan kawasan hutan simpan tersebut amat strategik dan berhampiran dengan pelbagai kemudahan.