fb fb fb fb fb

Aksi padu bekas pelajar , "weekend warrior" di kejohanan ragbi Ostrich 10s

Pasukan Glaucus RC menang "line out"

SHAH ALAM, 31 Mei - “Starts as enemy, finish as friend”. Demikian ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan semangat kesukanan, setia kawan dan saling menghormati para pemain dalam kejohanan ragbi Ostrich 10 sepasukan (Ostrich 10s) edisi sulung yang berlangsung di Padang Ragbi UiTM, Shah Alam hari ini.

Selain bertujuan bagi menyediakan platfom untuk pemain amatur beraksi, penganjuran kejohanan peringkat komuniti ini juga dilihat sesuai bagi menanam dan memupuk minat terhadap sukan yang amat mengutamakan disiplin sebagai nilai terasnya.

Pengarah Kejohanan Muhammad Hafizuddin Bin Zaharuddin berkata, penganjuran buat julung kalinya ini berjaya menghimpunkan 12 pasukan dari seluruh negara yang berstatus pasukan bekas pelajar serta "weekend warrior".

"Kita mahu minat terhadap sukan ragbi diteruskan. Mungkin dalam kalangan pemain yang bermain diperingkat komuniti juga mempunyai bakat besar dan boleh dibawa ketengah untuk beraksi ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Tambahnya, Ostrich 10s dianjurkan sepenuhnya oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang (HSK) sebagai salah satu inisiatif khidmat sosial kepada sekolah, masyarakat dan komuniti ragbi.

Ia juga merupakan antara aktiviti menjelang sambutan ulang tahun ke-100 HSK pada 2028, dan dirancang untuk dijadikan acara tahunan.

Edisi pertama Ostrich 10s menyaksikan pasukan Skira Eagle muncul juara selepas menewaskan Glaucus RC dengan keputusan 12-7.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN