fb fb fb fb fb

Ganggu Mesyuarat Agung ITTF, siasatan akan dijalankan

Foto Facebook IFFT

SWITZERLAND, 31 Mei - Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF) akan menjalankan siasatan terhadap kekacauan yang menyebabkan mesyuarat agung tahunannya di Doha terganggu, susulan pemilihan semula Petra Sorling sebagai Presiden.

Kekecohan tercetus selepas Sorling, yang juga Presiden wanita pertama ITTF, menewaskan pencabarnya dari Qatar, Khalil Al-Mohannadi dengan 104 undi berbalas 102.

Menurut kenyataan ITTF, gangguan itu dicetuskan oleh individu yang bukan wakil persatuan ahli, ahli lembaga eksekutif mahupun tetamu rasmi.

ITTF menyatakan kekesalan dan mengutuk insiden itu serta menegaskan akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Persatuan Ping Pong Qatar (QTTA) turut mengeluarkan kenyataan mempersoalkan ketelusan undian dalam talian dan mendesak siasatan bebas dijalankan, termasuk membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika perlu.

Bagaimanapun ITTF mempertahankan kesahihan proses pilihan raya tersebut dan bersedia menangani sebarang aduan rasmi melalui saluran yang betul.

Petra Sörling dan delegasi Sweden dilaporkan meninggalkan mesyuarat selepas berasa tidak selamat.

ITTF memaklumkan mesyuarat agung akan disambung semula sebelum November ini bagi menyelesaikan baki agenda yang tertangguh di Doha.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN