KUALA LUMPUR, 31 Mei - Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sah beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.
KDA FC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu diambil susulan kegagalan kelab memperoleh lesen kebangsaan, seperti diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.
Penyertaan dalam liga separuh profesional itu juga sebahagian daripada komitmen jangka panjang KDA FC untuk memastikan kelangsungan dan daya saing skuad Sang Kenari dalam arena bola sepak negara.
Sebagai langkah pemulihan, pemilik majoriti kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bakal mengadakan pertemuan bersama bekas pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian isu tunggakan gaji secara adil dan berhemah.
Dalam masa sama, kelab itu memulakan proses penstrukturan semula pengurusan yang turut melibatkan pelantikan barisan baharu serta perancangan strategik bagi kestabilan kewangan, komersial dan prestasi pasukan.
KDA FC merakamkan penghargaan kepada semua penyokong, pemain serta rakan penaja yang terus menzahirkan kepercayaan dan sokongan kepada KDA FC dalam fasa pemulihan ini.
Perkembangan terbaharu itu sekaligus mengesahkan status pasukan tersebut yang tidak akan beraksi dalam Liga Super musim hadapan.