fb fb fb fb fb

KDA FC persiap pasukan hadapi Liga A1 2025/2026

Kedah Darul Aman (KDA) FC

ALOR SETAR 31 Mei- Enggan terkubur selepas gagal beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025/2026, Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman (KDA FC) kini dalam proses menyertai dan akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga A1 musim 2025/2026.
 
Langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kelab untuk memastikan kelangsungan dan daya saing KDA FC dalam arena bola sepak negara.
 
Dalam kenyataan, KDA FC memaklumkan, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, selaku pemilik majoriti KDA FC, akan mengadakan pertemuan bersama bekas pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan kelab dalam masa terdekat.
 
"Pertemuan tersebut bertujuan mencari solusi dan penyelesaian kepada isu tunggakan gaji secara teratur dan adil, demi menjaga kebajikan serta profesionalisme semua yang terlibat," demikian menurut kenyataan itu.
 
Dalam usaha membawa kelab ke tahap yang lebih baik, pihak KDA FC turut memulakan proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
 
"Pelantikan barisan pengurusan baharu bukan sahaja akan menumpukan kepada penyelesaian isu-isu tertunggak, malah akan merangkumi perancangan strategik jangka sederhana dan panjang," katanya.
 
Menurut KDA FC, fokus utama untuk memastikan kestabilan struktur pengurusan, komersial dan kewangan kelab, seiring dengan usaha memperkukuhkan prestasi pasukan di atas padang.
 
"KDA FC komited untuk membuka lembaran baharu yang lebih tersusun, telus dan mampan dalam segala aspek operasi kelab," menurut kenyataan itu.
 
Pihak pengurusan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penyokong, pemain, kakitangan serta rakan penaja yang terus memberi kepercayaan kepada kelab dalam fasa pemulihan ini.
 

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello