fb fb fb fb fb

Sergio Busquets umum bersara hujung musim MLS

Pemain bola sepak Sepanyol, Sergio Busquets/Reuters

FLORIDA, 26 September- Bekas pemain tengah Sepanyol dan Barcelona, Sergio Busquets akan menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional sebaik sahaja musim Major League Soccer (MLS) berakhir.

Perkara tersebut disahkan kelabnya, Inter Miami dalam satu kenyataan pada Khamis.

Busquets, 37 tahun, memulakan perjalanan bola sepaknya bersama akademi remaja Barcelona sebelum melakukan penampilan sulung bersama skuad utama pada 2008 dan mengabdikan 18 tahun bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Pada 2023, beliau berhijrah ke Miami dan kembali bergandingan dengan rakan sepasukan lamanya, Lionel Messi, Jordi Alba serta Luis Suarez.

Sepanjang bersama Sepanyol, Busquets mencatatkan 143 penampilan antarabangsa dan menjadi tonggak utama ketika membantu negaranya menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan serta Kejohanan Eropah 2012 di Poland dan Ukraine.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada karier sebagai pemain profesional. Hampir 20 tahun saya menikmati kisah luar biasa yang menjadi impian sejak kecil.

“Saya bersara dengan penuh kegembiraan, rasa bangga, puas hati dan yang paling penting, penuh kesyukuran. Terima kasih semua, jumpa lagi,” katanya dalam satu rakaman video di Instagram.

Busquets dianggap antara pemain tengah bertahan terbaik dunia, mencatat lebih 700 penampilan bersama Barcelona dengan koleksi sembilan kejuaraan LaLiga serta tiga trofi Liga Juara-Juara UEFA.

Sejak berhijrah ke Amerika Syarikat (AS), beliau menambah koleksi dengan menjuarai Piala Liga serta Supporters’ Shield dan kini bersedia menutup tirai kariernya dengan baki beberapa perlawanan terakhir dalam saingan playoff MLS. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM