LONDON, 24 Jun- Serena Williams bakal memulakan aksi pada pusingan pertama Wimbledon dengan berdepan Harmony Tan dari Perancis.
Ia bakal menjadi penampilan semulanya dalam aksi perseorangan setelah berehat selama setahun.
Williams, juara Grand Slam 23 kali, yang jatuh ke kedudukan ke-1,204 dalam ranking dunia sekali gus menjadi pemain bukan pilihan untuk kejohanan berprestij itu.
Pemain berusia 40 tahun itu, yang mengambil bahagian dalam kejohanan beregu di Eastbourne minggu ini, tidak bermain berseorangan sejak dia mengalami kecederaan semasa perlawanan pusingan pertama di Wimbledon 12 bulan lalu.
Pemain Amerika itu memenangi gelaran terakhir daripada tujuh gelaran perseorangan Wimbledon pada 2016 tetapi mara ke final pada 2018 dan 2019 selepas kembali daripada cuti bersalin.
Wimbledon secara meluas dianggap sebagai peluang terbaik buat Williams untuk merangkul mahkota perseorangan Grand Slam ke-24 sekali gus menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court.
Gelaran terakhir perseorangan Grand Slam ialah Terbuka Australia pada 2017.
Bercakap selepas perlawanan beregu pada Rabu, Williams berkata, "Saya berasa baik. Senyaman yang boleh dirasai selepas berehat sekian lama."
Sementara itu, satu lagi aksi pusingan pertama bakal menyaksikan pilihan utama Iga Swiatek, yang memenangi Terbuka Perancis awal bulan ini, membuka kempennya menentang pemain kelayakan Croatia, Jana Fett.
Swiatek dari Poland, telah memenangi 35 perlawanan berturut-turut sebelum ke Wimbledon.
(Serena Williams)