fb fb fb fb fb

Serbia pecat ketua jurulatih susulan kekalahan kepada Albania jejaskan peluang Piala Dunia

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Dragan "Piksi" Stojkovic

BELGRADE, 18 Oktober - Persatuan Bola Sepak Serbia (FSS) memecat ketua jurulatih pasukan kebangsaan Dragan "Piksi" Stojkovic selepas kekalahan 1-0 kepada Albania dalam saingan kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan kempen negara itu berada di ambang kegagalan, lapor Xinhua.

FSS dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dicapai melalui persetujuan bersama dalam mesyuarat lembaga eksekutif di Stara Pazova, sekali gus menamatkan tempoh empat tahun Stojkovic bersama barisan kejurulatihannya.

Jurulatih baharu dijangka dilantik sebelum aksi kelayakan menentang England di London dan Latvia di Leskovac pada November.

Kekalahan di Leskovac - kemenangan pertama Albania di tempat lawan menentang Serbia - berlaku hanya beberapa minggu selepas Serbia tewas 5-0 kepada England, sekali gus mencetuskan kekecewaan meluas dalam kalangan penyokong.

Serbia kini berada di tangga ketiga Kumpulan K dengan 10 mata daripada enam perlawanan, ketinggalan satu mata di belakang Albania yang mengumpul 11 mata, manakala England kekal di tangga teratas dengan rekod tanpa kalah. Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026, manakala naib juara mara ke pusingan play-off.

Stojkovic, 60, mengambil alih tugas pada 2021 dan berjaya membawa Serbia ke Piala Dunia 2022 di Qatar serta Euro 2024, sekali gus mengembalikan maruah pasukan yang sekian lama dihantui kegagalan tipis.

Era kepimpinannya memuncak dengan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Portugal di Lisbon yang menjamin tempat Serbia ke Piala Dunia 2022.

Bekas kapten Red Star Belgrade dan pemain tengah kreatif Yugoslavia itu antara pemain terbaik Eropah pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, pernah beraksi bersama Marseille di Perancis dan Nagoya Grampus Eight di Jepun, serta terkenal selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 Yugoslavia ke atas Sepanyol pada Piala Dunia 1990.

FSS merakamkan penghargaan kepada Stojkovic “atas segala pencapaian yang diraih” dan mendoakan kejayaannya pada masa depan - BERNAMA-XINHUA

GRACE AISYAH KEDAYAN