KUALA NERUS, 18 Oktober - Terengganu FC (TFC) berdepan laluan berliku untuk ke separuh akhir Piala FA 2025 selepas tewas 1-4 kepada Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Disaksikan lebih 9,000 penyokong setia, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali dikejutkan seawal minit kelapan apabila Ronald Ngah meletakkan Kuching City di depan sebelum menyempurnakan sepakan penalti empat minit kemudian untuk menggandakan kedudukan.
Ketinggalan dua gol awal, TFC mula menggandakan asakan namun kecekapan penjaga gol pelawat, Muhammad Haziq Nadzlin menafikan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang Kuching City FC.
Memasuki babak kedua, pelawat terus garang apabila Daniel Asri menambah jaringan ketiga pada minit ke-52 hasil serangan balas pantas.
TFC akhirnya merapatkan kedudukan pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti Yann Mabella selepas beliau dijatuhkan dalam kotak penalti.
Namun nasib tidak menyebelahi tuan rumah apabila Mabella tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-82 hasil sepakan sudut lawan sekali gus melengkapkan kemenangan besar 4-1 buat skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak.
Kekalahan itu menyukarkan peluang Sang Penyu menjelang aksi timbal balik di Kuching pada 28 Oktober ini, dengan Kuching City kini memiliki kelebihan selesa empat gol di tempat lawan.