MADRID, 26 Jun - Juara dunia Sepanyol bakal menentang Jepun esok dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum memulakan kempen di Kejohanan Eropah Wanita (UEFA Women’s Euro) 2025.
Meskipun berdepan tempoh dua tahun yang penuh cabaran sejak menjuarai Piala Dunia Wanita di Australia dan New Zealand, Sepanyol tetap dianggap antara pasukan pilihan untuk menjulang trofi Eropah.
Pengurus pasukan Monste Tome, dalam satu sidang media berkata pasukannya telah bersedia secara fizikal dan mental.
"Pasukan ini telah melalui banyak hal, tetapi semangat dan mentaliti mereka tetap kuat. Kami bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran," katanya
Selepas menentang Jepun, Sepanyol akan berlepas ke Switzerland bagi peringkat kumpulan, yang menyaksikan mereka diundi bersama Portugal, Itali dan Belgium.
Kejohanan Euro Wanita 2025 dijadual bermula pada 2 Julai ini. - AFP