fb fb fb fb fb

Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan, tarik penyertaan pasukan antarabangsa

Kejohanan akan disertai pasukan dari Singapura dan Thailand

SEREMBAN, 20 Mei – Hampir tiga dekad menyepi, Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan kembali menemui peminat sukan tanah air selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 1997.

Kejohanan yang pernah dikenali sebagai Piala Isa ini bakal berlangsung dari 22 hingga 25 Mei ini di N9 Arena, Seremban.

Menurut Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS), Wan Husni Abdullah, kejohanan kali ini akan mempertandingkan empat kategori iaitu Terbuka, Veteran, Bakat Baharu dan Bawah 15 Tahun, dengan penyertaan keseluruhan sebanyak 120 regu dari seluruh negara.

"Kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga platform mencungkil bakat baharu dan merapatkan hubungan antara pemain, peminat dan komuniti sukan tanah air. Selepas sekian lama, sepak takraw Negeri Sembilan kini kembali menyala dan ia dijangka membakar semangat baharu dalam kalangan penggiatnya," katanya.

Kategori Terbuka bakal menjadi tumpuan apabila 26 regu akan bersaing, termasuk tiga pasukan jemputan dari luar negara ; dua dari Singapura dan satu dari Thailand.

Ia dilihat sebagai usaha untuk mengangkat semula martabat sepak takraw sebagai warisan sukan masyarakat Melayu yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, sesuai slogan “Adat Di Sanjung, Sejarah Dikembalikan, Kegemilangan Dicipta".

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN