BANGKOK, 18 Mei - Malaysia kini secara rasmi menyertai South East Asia Rugby Federation (SEARF), sebuah gabungan baharu yang menghimpunkan negara-negara Asia Tenggara, dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan ragbi di rantau itu.
Penyertaan tersebut dimuktamadkan dalam mesyuarat pertama yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Langkah Malaysia menyertai SEARF merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan keterlibatan negara dalam pentas pembangunan ragbi serantau.
Sejajar dengan hasrat Malaysia Rugby untuk memperluaskan jaringan kerjasama dengan negara-negara jiran demi melonjakkan prestasi serta infrastruktur sukan ragbi tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
Malaysia diwakili Setiausaha Agung Malaysia Rugby, Fahmy Jalil.
Dalam struktur kepimpinan awal SEARF, Presiden Persatuan Ragbi Thailand, Kunthon Prachuabmoh dipilih sebagai Pengerusi pertama. Manakala Presiden Malaysia Rugby, En Amir Amri Mohamed telah dilantik sebagai Naib Presiden.
Kepimpinan SEARF akan digilirkan secara dwitahunan, seiring dengan penganjuran temasya Sukan SEA yang juga berlangsung setiap dua tahun.