JOHOR BAHRU, 19 Mei - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bertitah menasihati semua pihak agar memberikan sokongan positif dan membangun kepada pasukan bola sepak kebangsaan.
Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bertitah usaha bagi pembangunan skuad Harimau Malaya memerlukan masa dan ruang untuk membantu pasukan mencapai kejayaan.
Baginda bertitah usaha itu termasuk menggunakan khidmat dan pengalaman jurulatih tempatan serta luar negara seperti yang diterapkan di dalam pasukan kebangsaan ketika ini.
"Mengapa kita terlalu selesa dengan kedudukan kita sekarang, hingga takut untuk belajar daripada pihak luar? Apa salahnya kita menimba ilmu dan pengalaman daripada mereka?".
"Kejayaan saya bersama JDT juga banyak dibentuk hasil daripada pembelajaran dan kerjasama dengan individu serta pakar luar negara".
"Jadi, jika ada yang mendakwa kononnya kami mengetepikan jurulatih tempatan, saya kira dakwaan itu tidak berasas".
"Lihat saja berapa ramai jurulatih muda tempatan yang mempunyai masa depan dalam dunia kejurulatihan? Antaranya Nafuzi Zain, Hairuddin Omar, Aidil Sharin, dan lain-lain".
"Bagi saya, tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa kami menolak jurulatih tempatan. Malah, sejak dahulu lagi kita pernah membawa masuk jurulatih dari luar seperti Karl-Heinz Weigang (Perak) dan Michael Urukalo di Johor".
"Ini menunjukkan keterbukaan terhadap kepelbagaian ilmu dan pengalaman dalam membangunkan bola sepak kita," titah baginda ketika ditemui media di sebuah hotel, di sini.
Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan legenda bola sepak kebangsaan Datuk Santokh Singh yang dipetik mendakwa revolusi Harimau Malaya bagaikan tiada identiti dengan mempersoalkan peranan jurulatih tempatan serta kebergantungan terhadap pemain naturalisasi dan warisan sehingga mengetepikan bakat tempatan.