fb fb fb fb fb

Semua atlet RTG, diberi sokongan sama rata

Datuk Stuart Ramalingam / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Semua atlet bawah Program Road To Gold (RTG), termasuk yang menjalani latihan di luar negara, akan terus diberikan sokongan dan layanan yang sama rata oleh jawatankuasa program tersebut.

Ia sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Perkara itu dinyatakan Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

Katanya, meskipun beberapa atlet seperti Ng Eain Yow dan S. Sivasangari kini menjalani latihan di luar negara, sebarang bentuk bantuan atau sokongan teknikal akan tetap disediakan selagi ia menyumbang kepada peningkatan prestasi mereka.

“Program ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penyatuan. Kami juga mempunyai tiga atlet bertaraf dunia dalam jawatankuasa iaitu Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Mirnawan Nawawi.

"Jadi segala permintaan akan dinilai dari sudut peningkatan prestasi atlet itu sendiri, dan jika ia munasabah, sokongan 100 peratus akan diberikan,” katanya kepada pemberita.

Setakat ini, dua pemain skuasy negara, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari sedang menjalani latihan penuh di luar negara sebagai persediaan jangka panjang ke Olimpik.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menghantar lebih ramai atlet RTG menjalani latihan di luar negara, Stuart berkata dari sudut pengurusan, RTG sedia membantu dan menyediakan sokongan yang diperlukan.

“Saya hanyalah pentadbir program, tetapi dari segi sokongan, kami sediakan keperluan latihan di luar negara, persekitaran yang lebih kompetitif, peningkatan kemahiran dan penambahbaikan keseluruhan program latihan atlet,” jelas beliau.

Menurutnya, jika terdapat permintaan daripada atlet untuk program tambahan beliau akan membawanya ke peringkat Jawatankuasa Mesyuarat untuk dipertimbangkan.

“Kalau atlet perlukan bantuan tambahan seperti ini, saya boleh bawa ke mesyuarat untuk cari penyelesaian terbaik,” katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID