KUALA LUMPUR, 20 Jun- Malaysia mara ke perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Lelaki 2025, selepas menewaskan Afrika Selatan, 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia bakal bertemu Wales selepas pasukan itu menyingkirkan Jepun 6-4 dalam satu lagi aksi klasifikasi, hari ini.
Terdahulu, dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Speedy Tigers mempamerkan persembahan cemerlang apabila Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15.
Walaupun Afrika Selatan sempat menyamakan kedudukan melalui jaringan Angelo Walstroom pada minit ke-30, namun Malaysia bangkit dengan aksi lebih bertenaga pada suku ketiga.
Malaysia terus berada di depan apabila Shafiq Hassan dan Akhimullah Anuar Esook masing-masing menjaringkan gol padang pada minit ke-37 dan ke-40.
Kemenangan mutlak dicapai Malaysia pada suku keempat apabila Mohammad Fitri Saari menambah satu lagi gol padang pada minit ke-53 ,meski Afrika Selatan terus berusaha merapatkan jurang.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh, menyifatkan persembahan pasukan masih belum mencapai tahap memuaskan walaupun mereka mencatat kemenangan ke atas Afrika Selatan.
"Saya rasa selepas semua persembahan sebelum ini, persembahan kali ini masih belum cukup baik. Walaupun kami menang 4-2, saya rasa persembahan pada separuh masa pertama agak goyah.
"Tetapi apabila permainan berlangsung, secara keseluruhan ia tetap satu perlawanan yang baik, dan kami mengambil peluang yang ada. Itu sahaja bezanya", katanya kepada media selepas perlawanan di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan mengenai keperluan untuk memperbaiki kesilapan mudah yang boleh memberi tekanan kepada pasukan, terutama ketika mendahului dengan hanya satu gol.
"Pasukan semakin menunjukkan peningkatan. Kami perlukan lebih masa. Maksud saya, kami berjaya menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti, dan juga melalui gol padang. Tapi apa yang penting sekarang ialah mengurangkan kesilapan kecil. Kita tidak boleh terus melakukan kesilapan seperti itu,
"Kalau kedudukan menjadi 4-3, tekanan pada satu atau dua minit terakhir pasti berbeza. Nasib baik kita ada kelebihan dua gol sebagai kelebihan, jadi situasinya lebih terkawal," katanya.
Mengulas mengenai perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam menentang Wales esok, beliau menyifatkan mereka sebagai lawan yang kuat dan semakin menunjukkan peningkatan.
Namun, skuad negara tetap berusaha untuk mendapatkan tempat kelima.