KUALA LUMPUR, 20 Jun- Program Road To Gold (RTG) menyambut baik penyertaan empat pemain badminton profesional negara ke dalam program berprestij itu.
Sekali gus mengukuhkan lagi komitmen bersama dalam usaha melahirkan atlet podium menjelang temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Demikian dinyatakan Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam.
Beliau berkata, walaupun proses rundingan mengambil sedikit masa, pasangan beregu lelaki nombor satu negara Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani serta pasangan beregu campuran Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie berpuas hati dengan bentuk sokongan yang ditawarkan RTG dalam usaha meningkatkan prestasi mereka.
“Saya rasa ini satu petanda baik bahawa program ini diterima baik oleh semua pihak. RTG sememangnya berfokus kepada sokongan prestasi dan saya percaya itu yang akan diperoleh oleh para atlet, seperti yang berlaku dalam kitaran RTG sebelum ini.
“Jika anda bercakap dengan jurulatih dan atlet yang pernah terlibat sebelum ini, mereka tidak mempunyai sebarang aduan terhadap sistem sokongan RTG. Namun pada akhirnya, ia tetap bergantung kepada komitmen atlet itu sendiri. Kami hanya boleh sediakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui dalam program Spotlight on Sexual Harassment in Sports, hari ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Duta Besar Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker.
Menurut Stuart, dengan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) masih berbaki beberapa tahun lagi, atlet mempunyai lebih banyak masa untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan oleh RTG.
Terdahulu, Hannah mengumumkan bahawa Sze Fei–Nur Izzuddin dan Soon Huat–Shevon telah menyatakan komitmen rasmi mereka untuk menyertai RTG bagi kitaran 2025.
Sebelum itu lapan lagi pemain badminton diumumkan menyertai RTG termasuk pasangan beregu lelaki nombor dua dunia Aaron Chia–Soh Wooi Yik, pasangan Man Wei Chong–Tee Kai Wun, beregu wanita utama negara Pearly Tan–M. Thinaah serta pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.
Turut menyertai program itu adalah atlet angkat berat Mohd Aniq Kasdan, pelumba basikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta pemain skuasy wanita S. Sivasangari.
Sementara itu, trio memanah recurve wanita negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil serta pemain skuasy lelaki Ng Eain Yow turut bersetuju menyertai program Fast Track RTG.