SEPANG, 2 Julai – Acara Selangor Marathon (SELMAR) 2025 mendapat mendapat sambutan menggalakan apabila 6,000 peserta telah mengesahkan penyertaan.
Acara yang mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri Selangor itu bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 3 Ogos ini, selaras kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
Ketua Pegawai Eksklusif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, acara berkenaan telah menarik penyertaan pelari dari dalam dan luar negara.
Pengalaman unik diketengahkan dengan peserta bakal berlari di laluan ikonik sekitar kawasan 'viewing deck', sambil menyaksikan pesawat berlepas dan mendarat.
"Kita masih ada seminggu lagi untuk mencapai sasaran penyertaan seribu peserta tambahan.
Setakat ini, pendaftaran sudah melibatkan peserta antarabangsa dari pelbagai negara seperti Filipina, New Zealand, Hong Kong, Jepun, China, Korea, Perancis, Kenya, Portugal, India, Sudan, United Kingdom dan Malawi," katanya.
Pelepasan kategori utama 'full marathon' sejauh 42 kilometer dijadualkan bermula pukul 1.00 pagi, dengan garisan mula dan penamat di kawasan Mall Litar Sepang.
Lima kategori dipertandingkan iaitu 42 kilometer, 21 kilometer, 10 kilometer, 5 kilometer dan Kids Dash, terbuka kepada orang ramai.
Penganjuran ini bukan sahaja bertujuan merapatkan hubungan komuniti, malah mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan yang menarik.
Selain hadiah wang tunai dan trofi kepada tiga pemenang terbaik setiap kategori, peserta turut menerima baju rasmi, beg cenderamata, sijil penyertaan dalam talian dan pingat penamat.
Pelbagai aktiviti sampingan disediakan untuk memeriahkan acara termasuk gerai penjaja tempatan dan jualan produk sukan.