fb fb fb fb fb

Aniq Kasdan, Nurul Azreen dinobat Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2024

Jaguh sukan angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan (kiri) dan pemanah elit, Nurul Azreena Mohamad Fazil

SHAH ALAM, 3 Julai- Jaguh sukan angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan pemanah elit, Nurul Azreena Mohamad Fazil dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2024.

Dua atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa itu membawa pulang sijil, trofi, piala pusingan serta wang tunai RM1,000.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, pencapaian atlet UiTM amat membanggakan apabila bukan sahaja berjaya melakar nama di peringkat dunia malah mendominasi banyak acara dalam pelbagai temasya sukan.

Ini sekali gus membuktikan UiTM berjaya menjadi lubuk pembangunan sukan yang mantap dan progresif.

"UiTM komited membina legasi sukan yang berterusan, bukan sekadar mencipta juara hari ini, tetapi mencorakkan masa depan sukan negara. Kami percaya, dengan sokongan padu semua pihak, UiTM akan terus melahirkan atlet berprestasi tinggi yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, tetapi juga di bilik kuliah dan pentas antarabangsa."

Beliau berkata demikian dalam ucapan rasminya pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) UiTM 2024.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Sementara itu, bagi Mohamad Aniq Kasdan, penganugerahan yang diraih kali ketiga berturut-turut itu, menyuntik semangat baharu dalam terus memperbaiki pencapaian peribadinya.

"Ini juga menjadi batu loncatan untuk saya terus mencipta kejayaan dan mengharumkan nama UiTM serta Malaysia di persada antarabangsa. Saya sendiri tidak menyangka masih diberi kepercayaan untuk kali ketiga. Semuanya adalah hasil kerja keras saya selama ini," katanya.

Dalam pada itu, pemanah elit, Nurul Azreena Mohamad Fazil membuktikan atlet wanita juga mampu berdaya saing di pentas sukan berprestasi tinggi.

"Saya sangat bersyukur kerana memang tidak menyangka sama sekali akan dinobatkan sebagai Olahragawati 2024. Saya sedar UiTM mempunyai ramai atlet yang hebat. Namun, anugerah ini menjadi satu inspirasi dan pembakar semangat untuk saya terus meningkatkan prestasi pada masa akan datang," katanya.

MAS UiTM 2024 memberi pengiktirafan kepada atlet dan pegawai sukan yang mempamerkan kecemerlangan dalam bidang itu menerusi 18 kategori anugerah.

Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2024, Anugerah Khas, Anugerah Tokoh Sukan dan Anugerah ‘Hall of Fame’ Atlet UiTM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM