KUALA LUMPUR, 3 Julai - Pasukan bola sepak wanita kebangsaan meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 apabila menewaskan tuan rumah, Tajikistan awal pagi tadi.
Dalam aksi kedua Kumpulan H, di Stadium Central, Dushanbe, skuad Malayan Tigress kendalian Joel Cornelli mencatat kemenangan 1-0 ke atas Tajikistan.
Skuad Malayan Tigress mengumpul 6 mata selepas dua perlawanan - Foto FAM
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini mengumpul enam mata, sekali gus berada di kedudukan kedua di belakang Korea Utara yang turut mengumpul 6 mata dalam kumpulan H.
Jaringan Malayan Tigress hadir pada masa kecederaan separuh masa kedua menerusi pemain gantian, Henrietta Justine.
Henrietta Justine (kanan) menjaringkan gol tunggal perlawanan - Foto FAM
Malaysia perlu menang perlawanan terakhir menentang Korea Utara pada 5 Julai ini untuk layak ke pusingan akhir.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Australia pada Mac 2026.
Malaysia bakal bertemu Korea Utara bagi aksi terakhir Kumpulan H - Foto FAM
Terdahulu Malaysia membuka tirai kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dengan penuh bergaya selepas menundukkan Palestin 1-0 pada 29 Jun lalu.
Gol kemenangan Malayan Tigress hadir pada minit ke-85 menerusi Farahiyah Ridzuan.