fb fb fb fb fb

Malaysia mampu ulang kejayaan Piala Thomas 1992

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit pada majlis menandatangani MoU dan sidang media filem Sentuhan Wira di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Lebih 30 tahun selepas skuad badminton lelaki negara mencipta sejarah menjulang Piala Thomas di Stadium Negara pada 1992, semangat juang itu terus membara, malah diyakini mampu diulang semula oleh generasi pemain masa kini.

Menurut legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, skuad semasa memiliki potensi besar untuk sekali lagi mengungguli piala berprestij itu sekiranya diberi tumpuan dan sokongan berterusan.

“Kalau ikut pandangan saya sekarang ini pemain kita sudah kuat. Kita ada dua beregu lelaki yang bagus. Kalau single kita ada Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

Penekanan perlu diberi untuk tingkatkan lagi mutu permainan mereka,” katanya dalam sidang media pelancaran filem Sentuhan Wira, di sini.

Beliau percaya, kombinasi dua pemain perseorangan dan dua beregu yang stabil dapat mewujudkan pasukan mantap dan berdaya saing untuk memburu semula Piala Thomas.

Ditanya sama ada peluang itu realistik dalam masa terdekat, Datuk Rashid menyatakan keyakinan bahawa tahun hadapan adalah masa terbaik untuk barisan pemain negara menyerlah.

“Memang kalau untuk tahun hadapan, peluang memang tetap ada. Peluang tetap terbuka untuk pemain negara kita untuk menyerlah,” katanya.

Mengenai filem Sentuhan Wira pula, beliau berharap naskhah yang mengangkat kisah perjuangan skuad badminton pada tahun 1992 dapat membangkitkan kembali minat rakyat terhadap sukan badminton serta mencetuskan motivasi buat pemain muda.

Filem terbitan Victory Pictures itu turut mendapat sentuhan beliau dan rakan sepasukan, Datuk Cheah Soon Kit sebagai penasihat produksi dan dijangka memulakan penggambaran hujung tahun ini.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN