SHAH ALAM, 19 Jun - Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Selangor akan mempertimbang untuk menyenaraikan sukan pickleball sebagai sukan pertunjukan pada temasya dwitahunan itu.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya ada menerima cadangan untuk mengetengahkan sukan berkenaan.
Beliau berkata, bagaimanapun pickleball masih belum mendapat pendedahan meluas di semua negeri untuk dijadikan sebagai sukan tambahan dalam temasya SUKMA.
"Tetapi kita pertimbangkan mungkin untuk jadikannya sebahagian daripada sukan persembahan atau sukan pengenalan. Ini kita akan bincangkan lagi bersama majlis sukan negeri.
"Namun untuk dimasukkan sebagai salah satu sukan tambahan yang dipertandingkan, saya kira belum sesuai lagi buat masa ini," katanya pada sesi jalinan media bersama Sekretariat SUKMA dan Para SUKMA 2026, di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini hanya beberapa negeri seperti Selangor, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang mempunyai kemudahan infrastruktur serta penyertaan yang lebih aktif dalam sukan berkenaan.
Beliau berkata, selain pickleball sukan catur cina juga sedang dipertimbangkan sebagai salah satu sukan pertunjukan yang bakal diperkenalkan dalam temasya berkenaan.
Sementara itu, bercakap mengenai persiapan SUKMA, Mohd Najwan memaklumkan, setakat ini telah mencapai kira-kira 40 peratus dengan fokus utama terarah kepada usaha menaik taraf kemudahan dan venue sedia ada.
"Kita yakin dapat melaksanakan penganjuran dengan baik, tetapi kita ingin pastikan kontinjen dan orang ramai yang datang berasa selesa dengan kemudahan dan infrastruktur yang kita ada," katanya.
Antara venue yang terlibat dalam proses naik taraf termasuklah Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam, Lapang Sasar Subang serta Stadium Hoki Pandamaran di Klang.